:: Seminar: Wacana PIBG Sekolah Menengah

JPN Pulau Pinang telah dimaklumkan oleh Syarikat Kensido Sdn. Bhd akan penganjuran seminar yang bertajuk : Wacana Ke Arah Generasi Intelek Melalui Portal Pendidikan Score A i-Teacher. Program ini akan diadakan pada 29 Mei 2010 (Sabtu) bertempat di Dewan Budaya, USM Pulau Pinang, dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengahari.

Pihak penganjur menjemput dan mengalu-alukan kehadiran semua Pengerusi PIBG , Setiausaha PIBG dan Pengetua/Wakil ke seminar tersebut. Pengarah Kemajuan Pembangunan Pulau Pinang (ICU) telah bersetuju untuk bersama-sama dengan peserta seminar dan seterusnya merasmikannya.

Unit HEM, Jabatan Pelajaran berbesar hati memohon semua kaunselor hadir ke seminar tersebut sebagai tanda sokongan kepada program itu memandangkan ianya amat berfaedah dalam peningkatan akademik pelajar.

Sebarang pertanyaan, bolehlah menghubungi Nicoe Leoi di talian 012-428 9545 untuk keterangan lanjut.

...ara

::Al-Fatihah

Guru Kaunseling dari SMK Taman Sejahtera Bukit Mertajam, En. Yaakub bin Ismail telah kembali ke Rahmatullah pada 24 Mei 2010 bersamaan dengan 10 Jamadilakhir 1431. Beliau telah meninggalkan seorang balu yang bertugas di SMK Tinggi Bukit Mertajam dan 2 orang putra yang sedang menuntut di Institut Pengajian Tinggi Awam. Allahyarham telah menderita kanser usus selama setahun sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir. Allahyarham adalah seorang kaunselor yang komited dan didikasi. Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada dunia kaunseling dan sekolah. Allahyarham telah disemadikan di tanah perkuburan Junjung, Kulim pada 25 Mei 2010 jam 11 pagi. Semoga Allah mencucuri rohnya. Amin.

...ara

::Majlis Anugerah Cemerlang SPM 2009



Seramai 300 orang pelajar cemerlang dalam peperiksaan SPM 2009 telah dirai dalam satu majlis gilang gemilang di Hotel Vistana, Pulau Pinang pada 8 Mei 2010 (Sabtu). YB Tan Sri Nor Mohammed Yakcub, Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah sudi merasmikan majlis tersebut serta menyampaikan cek sejumlah RM 500.00 kepada setiap seorang pelajar. Seramai 5 orang pelajar juga terpilih untuk menerima sumbangan khas RM 1000.00 di atas kecemerlangan keputusan SPM tahun lepas. Tuan Haji Ibrahim bin Mohamed, Pengarah JPN Pulau Pinang adalah diantara tetamu kehormat pada majlis itu.

Majlis ini dianjurkan oleh Pejabat Pembangunan Persekutuan Pulau Pinang (ICU) dengan kerjasama Unit HEM, JPN Pulau Pinang.
Majlis ini juga diserikan lagi dengan slot motivasi kepada pelajar & ibubapa yang mana telah disampaikan oleh Tn. Haji Bohari Samsudin, Kaunselor JPN Pulau Pinang.

...ara

::Hari Informasi Pendidikan & Kerjaya 2010




Hari Informasi Pendidikan dan Kerjaya telah berlangsung dengan jayanya di Kompleks Tabung Haji, Bayan Lepas pada 4 & 5 Mei 2010. Perasmian telah dilakukan oleh En. Nik Ali b. Mat Yunus, Pegawai ICU. Program ini adalah kerjasama antara Unit HEM JPN Pulau Pinang, Majlis Guru Kaunseling Negeri , Pejabat Pembangunan Persekutuan, Pulau Pinang (ICU) dan perkongsian pintar dengan MSU. Pejabat Pembangunan Persekutuan Pulau Pinang (ICU) telah bermurah hati menaja sebahagian besar program tersebut. Terima kasih daun keladi.
Program ini juga berjaya menarik pengunjung seramai 10,000 orang yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah menengah dan orang ramai. Sejumlah 60 buah IPTA dan IPTS mengambil bahagian.
Semoga pendedahan informasi ini kepada pengunjung-pengunjung terutamanya pelajar, agar mereka dapat merencanakan hala tuju masa depan bersertakan bimbingan kauselor sekolah.
...ara

:: Mesyuarat Agung Majlis Guru Kaunseling Daerah Seberang Perai Selatan



Majlis Guru Kaunseling Daerah Seberang Perai Selatan telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke 3 pada 25 Mac 2010 bertempat di Pusat Latihan SLC, Bukit Mertajam. Dalam mesyuarat tersebut, perlantikan Pengerusi dan AJK baru telah dibuat. Pengerusi lama En. Abdul Hadi bin Nordin mengucapkan ribuan terima kasih di atas kerjasama yang diberikan kepada beliau semasa menjawat jawatan pengerusi. Harapan beliau dengan perlantikan pengerusi serta AJK baru dapat memperkasakan lagi Majlis Kaunseling di Daerah Seberang Perai Selatan dan perkara ini juga telah diulangi oleh Pengerusi baru yang dilantik.
Terima kasih juga kepada Pusat Latihan SLC, Bukit Mertajam kerana membenarkan penggunaan bilik mesyuarat serta menyediakan penggangkutan kepada ahli mesyuarat dari PPD Selatan ke Pusat Latihan SLC dan sebaliknya. SLC juga tidak ketinggalan memberi cenderamata serta makan tengahari. Terdahulu dari itu, pihak SLC memberi taklimat tentang latar belakang pusat latihan dan membuka peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran automotif kepada pelajar-pelajar lepasan SPM nanti.
...ara