::Kursus Pengurusan Asrama Kepada Kaunselor



Seramai 60 guru kaunseling daripada sekolah menengah berasrama telah menghadiri Kursus Pengurusan Asrama kepada Kaunselor dari 26 hingga 29 Julai 2010, bertempat di Hotel Langkasuka, Pulau Langkawi.

Objektif kursus ini mendedahkan kepada kaunselor input-input penting seperti:
1. Fokus Utama Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006 - 2010)NKRA.KPI
2. Memahami tanggung jawab sebagai kaunselor di sekolah- mengadakan program untuk memperkasakan pelajar.
3. Meningkatkan Kualiti Program Kecemerlangan Asrama.
4. Meningkatkan Pengetahuan dan kemahiran Kaunselor pengurusan pelajar asrama.

Mengupas isu semasa terhadap kebajikan, keselamatan dan kecemerlangan pelajar-pelajar asrama. En. Abdul Rahman Zakaria, Ketua Unit HEM JPN Pulau Pinang dan beberapa Fasilatator lain telah menyampaikan slot-slot di kursus ini.

Kursus Pengurusan Asrama telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Tuan Haji Osman bin Hussain, Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan dari Jabatan Pelajaran Pulau Pinang.

...ara

::Anugerah SANTUN Peringkat Kebangsaan



Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPIEM) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia telah menganjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Miskin/Anak Yatim Nasional (SANTUN) bagi pelajar lepasan PMR (SANTUN Junior) bertempat di Hotel MS Garden Kuantan Pahang. Setiap negeri diwakili oleh 2 orang pelajar.
Pelajar-pelajar Pulau Pinang yang terpilih ialah :
1. Adik Ahmad Omar bin Abu Bakar - SMKA Al Irshad (SANTUN Junior)
2. Adik Juliana bt. Zainal Abidin - SMK Teluk Kumbar II (SANTUN Junior)

Majlis penyampaian anugerah tersebut telah disempurnakan Y.A.B Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.

::Anugerah Pelajar Miskin/Anak Yatim Cemerlang Nasional 2010

Dua orang pelajar Tingkatan Empat dari Pulau Pinang telah dipilih menerima Skim Anugerah Kecemerlangan Pelajar Miskin/Anak Yatim Nasional (Santun) bagi pelajar lepasan PMR (Santun Junior) Kedua-dua mereka adalah Adik Ahmad Omar bin Abu Bakar dari SMKA Irshad dan Adik Juliana Bt. Zainal Abidin dari SMK Teluk Kumbar 2.

Majlis penganugerahan tersebut akan berlangsung pada 26 Jun 2010 pada jam 10.30 pagi bertempat di Hotel MS Garden, Kuantan Pahang Darul Makmur. YAB Perdana Menteri Malaysia telah setuju hadir bagi menyampaikan anugerah tersebut kepada pelajar-pelajar berkenaan dari seluruh Malaysia.

Majlis ini adalah tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri.

...ara

:: Seminar: Wacana PIBG Sekolah Menengah

JPN Pulau Pinang telah dimaklumkan oleh Syarikat Kensido Sdn. Bhd akan penganjuran seminar yang bertajuk : Wacana Ke Arah Generasi Intelek Melalui Portal Pendidikan Score A i-Teacher. Program ini akan diadakan pada 29 Mei 2010 (Sabtu) bertempat di Dewan Budaya, USM Pulau Pinang, dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengahari.

Pihak penganjur menjemput dan mengalu-alukan kehadiran semua Pengerusi PIBG , Setiausaha PIBG dan Pengetua/Wakil ke seminar tersebut. Pengarah Kemajuan Pembangunan Pulau Pinang (ICU) telah bersetuju untuk bersama-sama dengan peserta seminar dan seterusnya merasmikannya.

Unit HEM, Jabatan Pelajaran berbesar hati memohon semua kaunselor hadir ke seminar tersebut sebagai tanda sokongan kepada program itu memandangkan ianya amat berfaedah dalam peningkatan akademik pelajar.

Sebarang pertanyaan, bolehlah menghubungi Nicoe Leoi di talian 012-428 9545 untuk keterangan lanjut.

...ara

::Al-Fatihah

Guru Kaunseling dari SMK Taman Sejahtera Bukit Mertajam, En. Yaakub bin Ismail telah kembali ke Rahmatullah pada 24 Mei 2010 bersamaan dengan 10 Jamadilakhir 1431. Beliau telah meninggalkan seorang balu yang bertugas di SMK Tinggi Bukit Mertajam dan 2 orang putra yang sedang menuntut di Institut Pengajian Tinggi Awam. Allahyarham telah menderita kanser usus selama setahun sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir. Allahyarham adalah seorang kaunselor yang komited dan didikasi. Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada dunia kaunseling dan sekolah. Allahyarham telah disemadikan di tanah perkuburan Junjung, Kulim pada 25 Mei 2010 jam 11 pagi. Semoga Allah mencucuri rohnya. Amin.

...ara

::Majlis Anugerah Cemerlang SPM 2009



Seramai 300 orang pelajar cemerlang dalam peperiksaan SPM 2009 telah dirai dalam satu majlis gilang gemilang di Hotel Vistana, Pulau Pinang pada 8 Mei 2010 (Sabtu). YB Tan Sri Nor Mohammed Yakcub, Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah sudi merasmikan majlis tersebut serta menyampaikan cek sejumlah RM 500.00 kepada setiap seorang pelajar. Seramai 5 orang pelajar juga terpilih untuk menerima sumbangan khas RM 1000.00 di atas kecemerlangan keputusan SPM tahun lepas. Tuan Haji Ibrahim bin Mohamed, Pengarah JPN Pulau Pinang adalah diantara tetamu kehormat pada majlis itu.

Majlis ini dianjurkan oleh Pejabat Pembangunan Persekutuan Pulau Pinang (ICU) dengan kerjasama Unit HEM, JPN Pulau Pinang.
Majlis ini juga diserikan lagi dengan slot motivasi kepada pelajar & ibubapa yang mana telah disampaikan oleh Tn. Haji Bohari Samsudin, Kaunselor JPN Pulau Pinang.

...ara

::Hari Informasi Pendidikan & Kerjaya 2010




Hari Informasi Pendidikan dan Kerjaya telah berlangsung dengan jayanya di Kompleks Tabung Haji, Bayan Lepas pada 4 & 5 Mei 2010. Perasmian telah dilakukan oleh En. Nik Ali b. Mat Yunus, Pegawai ICU. Program ini adalah kerjasama antara Unit HEM JPN Pulau Pinang, Majlis Guru Kaunseling Negeri , Pejabat Pembangunan Persekutuan, Pulau Pinang (ICU) dan perkongsian pintar dengan MSU. Pejabat Pembangunan Persekutuan Pulau Pinang (ICU) telah bermurah hati menaja sebahagian besar program tersebut. Terima kasih daun keladi.
Program ini juga berjaya menarik pengunjung seramai 10,000 orang yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah menengah dan orang ramai. Sejumlah 60 buah IPTA dan IPTS mengambil bahagian.
Semoga pendedahan informasi ini kepada pengunjung-pengunjung terutamanya pelajar, agar mereka dapat merencanakan hala tuju masa depan bersertakan bimbingan kauselor sekolah.
...ara